Sebuah Kisah Dari Wahyu

Saudaraku Musa, bukan akal turutanku, bukan naluri ikutanku.

June 26, 2008 · Leave a Comment

Segmen 1

‘Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun’, tekad Musa a.s menggagahi langkahnya yang kian perlahan dek kepenatan.

Entah apakah yang akan dihadapinya kali ini. Perintah Tuhan membuatkan dia menghadap laut. Sesekali Musa a.s berhenti lalu memandang lautan yang meluas. Yang dia juga pasti, teman yang setia menemainya itu juga sudah kepenatan. Tetapi mengapakah laut? Apa yang ada pada kuasa air atau ombak? Mungkin pembaca semua masih ingat kisah Nabi Musa a.s sewaktu baginda masih kecil. Jalan air jua yang membawanya ke istana firaun sewaktu bondanya berusaha menyelamatkan nyawa puteranya yang berketurunan Nabi Ya’akub ini dari menjadi mangsa pembunuhan Firaun.

Musa dan sahabatnya terus berjalan. Tetapi kepenatan membuatkan konsentrasi mereka menurun, fizikal mereka semakin lemah longlai. Dalam keadaan ini biasa sahaja manusia akan tewas dek kelalaian dan hilangnya perhatian. Itulah yang terjadi tanpa mereka berdua sedar. Lokasi yang mereka seharusnya berhenti sudah lepas berlalu. Bahkan bekalan makanan dan ikan mereka juga terburai di pertengahan jalan. Apa lagi, ikan itu menggelunsur menempuh hala hidupnya ke laut.

Segmen 2

‘Ah! Penat sungguh. Elok kita berhenti dulu’, Kata Musa a.s akhirnya musa terpaksa mengaku tewas pada jasad dan kaki yang sudah lenguh dan letih. Bukan sahaja kaki tetapi perut juga sudah berbunyi minta diisi.  

‘Tolong berikan kepadaku santapan tengahari kita’, kata Musa lagi.

Rakan Nabi Musa a.s tergaman sejenak seolah-olah baru lepas tersedar. Baru dia teringat pada kejadian yang telah berlaku tatkala mereka berada di tepi batu besar. Keletihan membuatkan dia terlupa untuk menceritakan apa yang terjadi kepada Musa a.s.

‘Oh!, hamba sungguh-sungguh lupa, katanya sambil menepuk kepalanya. ‘Betul-betul terlupa. Memang syaitan membuatkan hamba lupa dan terlalai’, kata temannya. Musa mengerut dahinya dengan wajah yang penuh dengan tanda-tanya.

‘Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu?’

‘Ikan itu telah menggelungsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan’, ujar sahabat yang menemani Nabi Musa itu.

‘Oh! Jika benar itu yang berlaku, cepat kita perlu berpatah semula. Itulah tempatnya’. Musa bingkas bangun. Matanya mencari-cari jejak-jejak mereka yang kian hilang. Mereka perlu segera. Jika tidak tapak-tapak itu makin hilang dek deruan ombak yang menampar lantai pantai yang berpasir putih itu.

Sesampainya mereka di tempat pertemuan dua laut, mereka dapati seorang hamba Allah seolah-olah sedang menanti mereka. Jelas pada wajah dan air mukanya cahaya keilmuan dan rahmat.

Boleh jadi inilah orangnya, orang yang diperintahkan oleh Allah s.w.t agar Musa menemuinya. Bisik hati kecil Musa a.s. Seorang hamba Allah yang Allah anugerahkan rahmat dan daya ilmu dari sisi-Nya.

Nabi Musa lantas membuka bicara, ‘wahai saudaraku, izinkan aku mendampingi dan mengikutmu, dan ajarkanlah aku ilmu-ilmu Allah yang diberikan kepadamu, yakni ilmu yang menjadi petunjuk bagiku’.

Jawab lelaki itu, ‘hamba rasa, saudara sesekali tidak akan dapat bersabar jika bersamaku’. Bagaikan dapat membaca keperibadian dan watak Nabi Musa a.s, lelaki itu selanjutnya berkata lagi seolah menduga: Dapatkah sauadara bersabar? Bagaimanakah saudara akan sabar terhadap perkara yang saudara tidak mengetahuinya secara menyeluruh?’

Nampaknya lelaki itu enggan membenarkan dia bersamanya. Ini satu cabaran kedua buat Musa setelah melalui ujian perjalanan yang membuatkan mereka berpatah kembali. Mula-mula mereka hilang konsentrasi. Apakah kali ini Nabi Musa akan hilang kesabarannya? Tidak! Apakah dugaan Allah kali ini? Tentu ada rahsia-rahsia daripada Allah untuknya. Jika tidak masakan ia menjadi suatu perintah buatnya. Aku mesti tunjukkan keikhlasanku dan juga kesungguhanku. Lantas Musa berkata lagi:

‘Wahai saudaraku, percayalah,.. tuan hamba akan dapati diriku ini, Insya Allah di kalangan orang yang sabar; dan hamba tidak akan membantah sebarang perintahmu’. Jelas Musa a.s dengan tekad. Dia tidak akan mengalah atau undur. Apa sahaja syarat ataupun permintaan akan dia patuhi asalkan matlamatnya itu akan tercapai.

Melihat kesungguhan Musa, akhirnya lelaki itu  berkata: ‘Seandainya, tuan hamba ingin mengikutku, hendaklah patuhi syarat ini. Syaratnya saudara tidak boleh mempersoal (pertikaikan) ataupun kemukakan bantahan atau pernyataan mengenai apa jua pun insiden yang berlaku sehinggalah diberitahu dan dibenarkan’.

Syarat yang ringkas tetapi amat sukar untuk dipenuhi. Apatah lagi sifat dan jiwa Nabi Musa yang sejak dari kecil lagi akan bertindak dan mempersoalkan apa jua yang mencabar naluri, keadilan, dan apa jua perbuatan yang tidak diterimanya. Tetapi Musa a.s bersetuju dengan syarat tersebut. Maka bermulalah kembara ilmu yang mengandungi seribu satu cabaran dan dugaan.

Segmen 3

Dipendekkan kisahnya, tatkala mereka berdua menumpang sebuah perahu, tiba-tiba Musa a.s tersedar rakannya itu sedang membocorkan perahu itu. Alangkah terkejutnya baginda. Baginda ialah insan amat sensitif akan kesalahan serta perbuatan yang merosakkan. Bahkan perbuatan yang sedang disaksikan akan membahayakan keselamatan serta nyawa penumpang yang ramai. 

Ini menyebabkan Nabi Musa a.s mula mempersoalkan perbuatan lelaki tersebut dengan tujuan agar dihentikan perbuatan tersebut.  

Adakah patutkah engkau membocorkannya? Bukankah perbuatan itu akan menenggelamkan penumpang-penumpangnya yang lain? Sesungguhnya saudara membuat satu perkara yang besar’, kata Nabi Musa a.s.

Mendengar soalan bertalu-talu daripada nabi Musa, lelaki itu menjawab: ‘Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?’

Nabi Musa a.s tergaman sejenak. Ah! Baginda terlupa. Lantas Nabi Musa berkata: Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu) dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu).

Segmen 4

Mereka berdua meneruskan perjalanan. Sehinggalah mereka bertemu dengan seorang pemuda. Sepantas kilat, rakannya itu membunuh pemuda tersebut.

Seorang Nabi manakah yang dapat bertahan melihat nyawa seorang manusia ditamatkan di hadapan matanya? Jiwa Nabi manakah yang sanggup melihat kekejaman berlaku di hadapan matanya? Sudah tentu baginda akan membuat tuntutan. Sudah tentu baginda akan melawan. Sudah tentu baginda akan mempersoalkan tindakan pada pandangannya zalim dan pembunuhan dilakukan tanpa sebab dan juga alasan. Apa lagi maka bertalu-talulah Nabi Musa membuat serangan lisan.

‘Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih?’

‘Jiwa yang tidak berdosa membunuh orang lain?’

‘Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!’

Rakannya itu memandang Nabi Musa a.s lalu bertanya: Bukankah, (sejak awal-awal lagi) aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?’

Nabi Musa yang masih dalam kejutan tersebut tergaman untuk kali kedua setelah mendengar jawapan rakannya itu. Bukan ini jawapan yang baginda tuntut. Bukan ini jawapan yang baginda ingin dengar. Untuk kesekian kalinya Nabi Musa akhirnya berkata: 

‘Andainya selepas ini aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi. Cukuplah. Sesungguhnya engkau telah dapat alasan-alasan yang mencukupi untuk tidak membenarkanku mengikutmu lagi disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku kepadamu’.

Terlajak perahu boleh diundur. Tetapi terlajak kenyataan atau kata memang buruk impaknya. Rakannya itu tidak berkata. Nabi Musa sendiri telah membuat keputusannya. Keputusan yang merupakan hukuman dan kesan yang amat negatif bakal dihadapinya jika syarat yang telah ditetapkan tidak mampu dilaksanakan ataupun tidak diendah sekali lagi oleh baginda untuk kali ketiga.

Segmen 5

Akhirnya, mereka tiba di sebuah kota. Perjalanan yang jauh telah membuatkan bekalan makanan mereka telah habis. Mereka perlukan makanan untuk mengisi perut dan sebagai bekal musafir yang akan disambung nanti. Apabila diminta pertolongan dari penduduk kota tersebut, mereka enggan membantu biarpun untuk menyediakan sedikit bekal untuk mereka.

Tiba-tiba rakannya itu terpandang sebuah tembok yang hampir runtuh. Tidak semena-mena beliau membaiki tembok dan tiang tersebut. Sudahlah enggan dibantu tetapi kini rakannya itu membantu membina semula tembok yang hampir runtuh. Dengan penuh kehairanan Nabi Musa berkata:

‘Jika tuan hamba mahu, tuan hamba boleh mengambil upah membaikinya’.

Mendengar ulasan Nabi Musa a.s, rakan itu berkata: ‘Sudah tiba masanya kita berdua berpisah. Tetapi akan kujelaskan satu persatu maksud dan latar belakang kejadian yang tuan hamba tidak mampu fahaminya itu. Yakni (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang tuan hamba tidak dapat bersabar menghadapinya’.

‘Perahu yang aku bocorkan itu milik sebuah eluarga yang miskin. Mereka bekerja mencari hasil laut dengannya. Hamba bocorkan memang dengan tujuan untuk mencacatkannya. Kerana mudaratnya nanti lebih besar dari kecacatan yang kecil iaitu apabila raja mereka merampas kapal-kapal yang elok (tanpa cacat)’.

‘Manakala pemuda yang kubunuh itu, ibubapanya adalah orang yang beriman. Firasat dan ilmu daripada Allah yang berikan kepadaku membantuku menilai pemuda tersebut di hari muka. Dia bakal mendesak mereka melakukan kezaliman dan kekufurannya. Bahkan dia membunuh ibubapanya yang beriman dan membuat malapetaka. Lalu dia dibunuh lantaran kebimbangan pada mudarat dan impak yang lebih besar yang akan dia lakukan kelak. Oleh itu, kita berharap, supaya Tuhan mereka akan gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya. Iaitu anak yang tulus dan bersih jiwanya malah lebih mesra dan penuh kasih sayangnya’.

Bagaimanapun dengan tembok yang hampir runtuh itu? Rakan Nabi Musa a.s akhirnya menerangkan bahawa:
‘Tembok pada binaan itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota tersebut. Di bawah tembok itu ada harta pusaka yang ditinggalkan oleh bapa mereka yang soleh’.

‘Allah inginkan agar harta yang terpendam itu sampai ke tangan anak yatim tersebut apabila mereka dewasa. Mereka akan menemui harta yang terpendam itu satu hari kelak sebagai tanda kerahmatan daripada Allah untuk mereka’.

Andainya tembok itu tidak diperbaiki, harta itu bakal dibolot oleh masyarakat kota yang enggan membantu Nabi Musa dan rakannya itu. Mudarat lebih besar akan berlaku kelak. Sudahlah hak anak yatim itu diambil secara zalim oleh masyarakatnya, mereka akan biarkan mereka hidup tanpa pembelaan kelak. Sedangkan kedua anak yatim tersebut berketurunan mulia dan soleh. Sudah tentu sedikit sebanyak kemuliaan dan kesolehan orang tuanya itu akan memberikan kesan dalam hidup mereka.

Saudaraku Musa, setiap tindakanku tidak menuruti fikiranku sendiri jauh sekali berpandu naluri nafsuku. Itulah penjelasanku kepadamu wahai saudaraku di atas apa yang tidak mampu kamu bersabar.

Barulah Nabi Musa a.s mengerti rahsia di sebalik kejadian dan tindakan. Akal, pandangan dan pengalaman masih tidak mampu merungkaikan tanda-tanya dan persoalan yang dilihat dan dialaminya. Tidak memadai diri berseorangan membuat penilaian mengenai sesuatu walaupun sebagai seorang individu mengalami ataupun melihat apa yang berlaku. Fikiran dan pendapat akan bercambah dengan bertambahnya interaksi, perbincangan dan juga perkongsian secara kolektif.

Benarlah ilmu manusia ini terlalu terhad. Tetapi sebagai insan yang diberikan amanah kenabian dan juga dakwah, proses tarbiyah dan mencari ilmu itu suatu perkara yang berterusan. Allah swt menyediakan tarbiyah untuk para Nabi-Nya tanpa had waktu dan tempat. Biarpun Nabi Musa mungkin telah dilantik sebagai Nabi sewaktu peristiwa yang berlaku, proses peningkatan ilmu, tarbiyah dan juga ilmu berkaitan dengan persiapan menghadapi cabaran yang lebih besar diatur dengan begitu tersusun dalam manhaj silibus tarbiyah Allah s.w.t.

Pangkat seorang Nabi ataupun da’iy bukan petanda ilmu dan pengalamannya sudah mencukupi dan tidak perlukan lagi kepada ilmu dan kemahiran. Dalam kisah ini, Nabi Musa a.s mendapati dirinya yang dilantik sebagai Nabi dan rasul sentiasa tidak sempurna. Lebih-lebih lagi da’iy ataupun pendakwah yang jauh sekali statusnya dengan para anbia’, para sahabat, golongan salaf al-Soleh yang terdiri dari hawariyyun, ashabul rasul, ashabul kahfi, para tabiin dan alim ulama’. Jauhnya sejauh lapisan langit yang tujuh, lagi jauh dari jaraknya planet terakhir dan matahari.

Namun dalam ketidaksempurnaan ini tanggungjawab dakwah tetap tergalas di atas setiap muslim yang mengucap dua kalimah shahadah. Tanpa menunggu ilmu cukup di dada, tanpa mengharapkan mendapat segulung ijazah ataupun permit tertentu, tanpa menantikan adanya arahan bertulis dan lisan daripada orang yang lebih berautoriti, dakwah mesti dilaksanakan tanpa syarat atau tangguh lagi.

Kisah Nabi Musa ini juga memberikan kepada kita peringatan dan juga pedoman:

1. Peri penting memberikan fokus kepada matlamat dan tujuan. Sekiranya hilang fokus ataupun tersasar maka dengan segera perlu kembali berpatah semula.

2. Tabiat fizikal manusia yang terhad. Bukan sahaja fizikal yang mudah lemah dan letih tetapi jiwa dan akal juga akan mudah hilang tumpuan. Justeru, rehat serta latihan beserta ilmu akan dapat menghasilkan kerja yang bermutu lebih-lebih lagi kerja seperti berdakwah dan lain-lain. Selain itu kita perlu berwaspada terhadap taktik dan perancangan syaitan yang mengganggu tumpuan, interaksi serta matlamat kerja yang kita ingin capai. Dalam al-Quran banyak contoh diberikan mengenai langkah-langkah serta siri-siri perancangan jahat daripada syaitan ke atas golongan yang beriman.

3. Pencarian ilmu menuntut kita mencari siapakah guru yang paling mursyid. Guru yang mursyid akan memberikan kita ilmu serta pendedahan yang bermanfaat dan mempunyai kesan jangka panjang.

4. Pembelajaran berdasarkan pengalaman amat penting dan lebih berkesan. Allah s.w.t boleh sahaja memberikan teori-teori kepada Nabi Musa untuk diikuti. Namun Allah sediakan suatu ruang pengalaman yang praktikal agar ilmu yang diperolehi lebih bermanfaat dan berkesan.

5. Dakwah bukan hanya silibus ataupun nota-nota bacaan tetapi dakwah ialah suatu tindakan dan mengimplementasikan apa yang diperolehi dan diyakini. Dakwah bertitik tolak dari 2 asas iaitu Amar Maaruf dan Nahi Munkar. Sepanjang perjalanan 2 manusia pilihan Allah ini kita perhatikan dua asas berkenaan saling bertaut umpama saudara kembar yang tak boleh berpisah. Saya percaya pembaca boleh keluarkan satu-persatu dari beberapa insiden yang berlaku.

6. Pengurusan dakwah berkesan juga bergantung kepada kebijaksanaan dalam meletakkan prioriti. Dr Yusuf al-Qaradawi menulis sebuah buku mengenainya. Dalam kisah al-Quran ini, kita dapati setiap Nabi ataupun da’iy akan berhadapan dengan risiko, impak serta kesan baik positif dan negetif sepanjang menjalankan dakwah. Ini menjadi kayu ukur bahawa dakwah yang kita hadapi dan lalui benar-benar berpandukan manhaj serta jalan yang pernah dituntun oleh para nabi. Dakwah yang sebenarnya amat payah, dicabar, ditentang serta mempunyai banyak risiko. Kita mungkin berasa tidak sukar untuk mengajak rakan-rakan ataupun keluarga menjadi baik tetapi kita mungkin akan berhadapan dengan makna dakwah sebenar apabila kita cuba menasihati, mengelak, menghalang mereka daripada melakukan perbuatan mungkar.

7. Ada mudarat kecil dan ada mudarat besar. Ada manfaat yang kecil dan ada manfaat yang besar. Sebagai da’iy kita perlu sentiasa menimbang setiap keputusan dan tindakan yang diambil. Elakkan daripada berlakunya mudarat yang besar dengan memilih mudarat kecil apabila perlu membuat keputusan yang mendesak ataupun tidak dapat dielakkan. Pilihlah manfaat yang lebih besar dapat yang akan dirasai dan dikongsi oleh masyarakat yang umum daripada hanya menumpu pada manfaat kecil yang hanya dirasai ataupun diambil faedah oleh sebilangan individu sahaja.

8. Kisah dan dialog dalam tulisan ini bersumber dari ayat 60 – 82 surah al-Kahfi. Sila rujuk ayat-ayat tersebut untuk lebih memahaminya. Kisah ini juga telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabat baginda. Sila rujuk Sahih al-Bukhari 6/4725.

Selamat membaca!

→ Leave a CommentCategories: Kisah Dari Al-Quran